Sejarah Perkembangan Maktab Mahmud Kulim Sepintas lalu...
Madrasah al-Falahiah dibangunkan di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai Kedah. Mula dibangunkan pada tahun 1946 oleh Tuan Guru Haji Yaakob bin Mat Saman sebagai sebuah sekolah pondok yang memberi pendidikan keagamaan kepada penduduk sekitarnya.
Dinamakan al-Falahiah yang beerti kejayaan adalah untuk melahirkan generasi yang berjaya dalam ilmu pengetahuan ukhrawi dan duniawi. Madrasah al-Falahiah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Yaakob bin Mat Saman. Pada tahun 1944, bermulalah kuliah pengajian di Masjid Guar Lobak yang berteraskan pengajaran yang berbentuk ‘umumi’ sahaja. Perkembangan pengajian agama di Kampung Sidam Kanan ini berlanjutan apabila pada tahun 1946 bersamaan 22 Syaaban 1365 Hijrah, Madrasah al-Falahiah dibina di kawasan rumah Tuan Haji Yaakob sendiri dengan pengajian yang berbentuk sistem pondok dan menggunapakai kitab-kitab arab dan jawi lama.
Walaupun begitu, dengan peredaran masa, sistem pengajian pondok semakin tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana sistem tersebut tidak mempunyai sistem kurikulum yang tersusun dan lengkap. Tuan Guru Haji Yaakob merasakan pembinaan dan pengubahsuaian semula madrasah tersebut perlu dilakukan bagi mewujudkan sebuah sekolah agama yang menggabungkan pendidikan akademik dan agama. Hasil daripada perbincangan dan permuafakatan dengan orang ramai, maka pada tahun 1954 iaitu setelah hampir lapan tahun menggunakan sistem pengajian pondok, maka bermulalah pengajian kelas pertama di Madrasah al-Falahiah yang dijalankan di surau. Bahasa Arab digunakan sebagai bahasa pengantar di madrasah tersebut meskipun dalam pengajian mata pelajaran akademik seperti geografi dan ilmu hisab.
Madrasah al-Falahiah kemudiannya dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kulim iaitu Tuan Syed Abdul Rahman. Pada tahun 1959, dua buah bangunan tambahan yang terdapat dua buah kelas di dalamnya telah didirikan atas bantuan Pejabat Zakat negeri Kedah sebanyak RM35000 di samping kutipan derma dan sumbangan masyarakat setempat. Pada pertengahan tahun 60-an, satu lagi bangunan didirikan yang mempunyai tiga bilik darjah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai.
Madrasah al-Falahiah berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) dengan nombor pendaftaran 202/67. Tanggal 1 Januari 2004, iaitu semasa pentadbiran Tuan Haji Mansur bin Ahmad sebagai pengetua, Madrasah al-Falahiah telah diambil alih oleh kerajaan negeri Kedah lalu dijadikan sebagai Maktab Mahmud cawangan Kulim. Sistem pendidikan berubah dan mengikut standard yang diselia oleh Lembaga Maktab Mahmud agar lebih sistematik dan tersusun dengan mengekalkan pengajian agama yang sedia ada.
Setelah hampir lapan tahun Maktab Mahmud Kulim berdiri teguh sebagai sebuah sekolah agama di daerah ini, banyak perkembangan ilmu dan pencapaian dari aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah diri telah dicapai. Kini, Maktab Mahmud Kulim yang mempunyai pelajar seramai 270 orang berada di bawah pentadbiran Ustaz Thalal Bin Mustaffa dan dibantu oleh 19 orang tenaga pengajar serta empat orang staf sokongan yang tidak mengenal erti kepayahan dan putus asa.